Jumaat, 21 Jun 2013

Aku Dan Menulis


"Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari ketentuan Allah jika Dia mengkhendaki bencana keatas kamu atau menghendaki rahmat keatas dirimu?." Mereka itu tidak akan mendapatkan perlindungan dan pertolongan selain dari Allah." 
(QS: al-Ahzab: 17)

Alhamdulillah, setelah hampir menyepi dari dunia penulisan, lebih kurang 3 bulan lamanya, akhirnya dapat juga menulis di sini. Disapa oleh teman-teman seperjuangan, bertanyakan khabar mengenai penulisan di blog dan penulisan di buku. 

Mungkin Allah swt lebih meredhai aku menulis untuk berdakwah melalui pena dalam mengajak manusia dalam melakukan kebaikan, mengambil ibrah dari cerita yang disampaikan. 

Sehingga aku ditanya:
"Apakah aku berhenti menulis kerana terlalu sibuk atas sebab berbagai taklifan di bahu?"

Jika aku menjawabnya 'ya', maka itu hanya alasan yang boleh aku katakan, menipu diri sendiri. 

Sebelum ini aku mampu menulis di sela-sela kesibukan yang ada. Mungkin kerana Allah swt menarik kekuatan menulis dan mencampakan rasa malas. Sehinggakan kita tidak menyedari bahawa ramai di kalangan sahabat-sahabat yang dahagakan pengisian rohani untuk mereka. 

Sedangkan aku tak tahu pun penulisan yang aku tulis boleh memberi inspirasi untuk mereka. 

Aku memohon keampunan kepada Allah swt kerana aku leka dalam mengemban amanah sebagai hamba Allah sebagai penyambung risalah perjuangan Nabi saw. Penulisan ini walaupun kebanyakan menceritakan tentang pengalaman hidup, cerpen, puisi dan sebagainya, namun harus aku sedari bahawa tulisan-tulisan inilah aset atau saksi di akhirat kelak bahawa segala yang aku kongsikan adalah ibrah dari apa yang terjadi. 

Saya teringat apa yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Abduh dalam karyanya Sulukiyyat Khati'ah 'ala Thoriq ad-Da'wah (Meluruskan Perilaku Keliru di Jalan Dakwah), (edisi Indonesianya: Da'i Juga Manusia terbitan Pustaka al-Kautsar):
"Kadangkala seorang da'ie melakukan salah satu perilaku keliru atau sebahagian, banyak atau sedikit. Oleh kerana itu, seorang da'ie haruslah bersikap lapang dada untuk mengakui satu atau beberapa sikap yang keliru yang menimpanya. Ia harus berani (tambahan: dan yakin) membuang perilaku keliru tersebut sehingga ia hilang dari dirinya. Kemudian ia harus berterima kasih pada Allah swt yang telah menyembuhkannya dari penyakit dan menghindarkannya dari berbagai cubaan dan ujian. Ia hendaklah berjanji kepada Allah agar sentiasa istiqomah di jalan yang benar."
Allah swt berfirman:
"Berilah peringatan! Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman." (QS: -Dzaariyat: 55)
Dan aku berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah bertanyakan, memberi semangat kepadaku untuk meneruskan penulisan. Sesungguhnya, dalam memberi peringatan, bukanlah sekadar di lisan, ramai di kalangan mad'u yang suka berinternet, membaca tulisan yang di sampaikan melalui blog dan juga vlog. Semua itu mendatangkan pahala.

Namun kita sebagai dai'e harus ingat, bahawa ia adalah amanah setiap manusia untuk mengajak manusia yang lainnya ke arah kebaikan. 

Dan aku memohon kekuatan dari Allah swt, agar Allah memberi aku kekuatan untuk istiqomah di jalan ini. Dan aku memohon kepada sahabat-sahabat, mendoakan diri ini untuk sentiasa memberi kepada orang lain selama diri ini masih hidup. 

Semoga tulisan ini memberi manfaat kepada kalian. 

Abdullah Hakimi
21 Jun 2013

Blang Kreung, Aceh Besar

Tiada ulasan: